Tuesday, October 20, 2015

Jangan Putus Asa Wahai Pendosa! Menangislah!


بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Tuhan Sekalian Alam di Langit dan di Bumi, selawat dan salam buat Junjungan Tercinta Nabi Muhammad SAW berserta sahabat dan ahli bait. 


Tinta kali ini tergerak bagi mencoret apa yang difahami al-faqir daripada pencerahan oleh Fadhilatus Syeikh Habib Ali al Jufri berkenaan taubat. Kita sebagai manusia walau sesoleh manapun tidak boleh menafikan kita telah berjaya melampaui batasan kesempurnaan hakiki kerana setiap hari kita tidak akan terlepas daripada tergelincir ke dalam lubang maksiat. Maka taubat kita perlu selalu diperbaiki dan diperbaharui seiring hayat kita yang semakin tiba ke penghujungnya. Allahu... :(

*Al-faqir memohon teguran dan nasihat daripada para pembaca yang datang daripada kalangan ulama dan sahabat handai yang lebih mahir dalam kaedah dan pertuturan bahasa arab serta ilmu agama.

Kalam Habib Ali al-Jufri :

Bilamana kamu merenung lalu membaca apa yang tertulis di dalam kitab Allah SWT pada firman-Nya:

..ورضوان من  الله أكبر
"...keredhaan Allah itu lebih besar kemuliaannya.." (at-Taubah : 72)

۞قُلۡ يَٰعِبَادِيَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ٥٣
Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" (Surah az Zumar : 53)


Bilamana kita mendalami ayat tersebut, kita dapati Allah berbicara kepada para pendosa seperti kita seakan-akan Allah langsung tidak ingin menjauhi daripada kita disebabkan dosa kita bahkan Allah menisbahkan diri-Nya yang Maha Agung kepada kita para pendosa dengan firman-Nya.."Wahai hamba-hamba-Ku.." 

Subhanallah! Kemuliaan apakah ini! Lihatlah betapa Maha Pengasih dan Penyayangnya Allah SWT kepada kita walau dosa kita bergunung-gunung banyaknya. 


Bilamana kita mendalami hadis baginda SAW pula kita dapati bukti sifat ar-Rahman ar-Rahim Allah SWT kepada kita bilamana Dia menyeru hamba-Nya setiap akhir malam dengan firman-Nya.."Adakah ada hamba-Ku yang ingin memohon kemaafan? adakah ada hamba-Ku yang ingin bertaubat? Adakah ada hamba-Ku yang ingin memohon sesuatu?"

Tika kita memikirkan betapa Allah SWT meluaskan keampunan-Nya buat para pendosa pada waktu siang, tika mana kita memikirkan betapa Allah SWT mengampunkan hamba-Nya yang berdosa pada waktu malam, kita mula sedar keadaan diri kita yang hina ini, penuh dosa noda, kadang kala kita tidak sedar diri kita ini sudah membuat banyak dosa. 

Jika waktu itu kita berada di hadapan manusia pasti mereka langsung tidak akan bersalaman dengan kita kerana membenci diri kita ini. 
Sedang sifat Allah SWT yang Maha Pengampun dan Maha Pengasih ini telah membuka hati kita untuk menambahkan rasa cinta dan rindu untuk kembali kepada Allah SWT walau diri kita diselaputi hitamnya dosa.

Dalam nukilan daripada kitab-kitab lama ada menceritakan, bahawa laut telah datang kepada Allah SWT setiap hari untuk meminta izin daripada-Nya bagi menenggelamkan manusia yang bermaksiat, langit juga datang bertemu Allah SWT untuk memanah petir kepada mereka, dan hadir juga bumi meminta izin kepada Allah untuk menelan mereka. Dengan sifat ar-Rahman ar-Rahim kepada manusia Allah berkata kepada langit, laut dan bumi :


 إنكم لا تخلقوهم ولو خلقتموهم لما قلتم هذا
"Sesungguhnya kalian tidak menciptakan mereka. Kalau kalian yang menciptkan mereka pasti kalian tidak akan berkata sebegini!"


Tahukah kita bagaimana pandangan seorang ibu kepada anaknya? Bilamana semua manusia memarahi dan memaki anaknya, pasti ibu tersebut berasa marah dan sempit dadanya kerana cacian mereka terhadap anaknya itu sehinggalah sampai satu tahap apabila manusia terus mencaci anaknya, sang ibu itu berkata, "Marahlah aku! Jangan kau marahi anakku kerna aku lah yang menjaganya."

Dan bagi Allah perumpamaan yang lebih Agung.

Dikisahkan sewaktu di tempat peperangan, para sahabat melihat seorang wanita yang kehilangan anaknya. Para sahabat memerhatikan kegelisahan ibu tersebut sewaktu mencari anaknya dan pada raut wajahnya terpancar riak kesedihan yang amat dalam. Selang berapa hari mencari tiba-tiba sang ibu terlihat si anak di suatu sudut sedang berjalan menuju kepadanya. Maka datanglah anak tersebut berlari kepada sang ibu seakan-akan hampir jatuh lalu sang ibu berlari dan terus mendakap anak tersebut dengan dakapan yang erat sehingga sang ibu dan anak menangis. Para sahabat yang melihat kejadian tersebut tidak dapat menahan sebak di dada lalu mereka juga turut menangis. Tangisan para sahabat itu disedari oleh Nabi SAW lalu baginda bersabda :

من الذي أبكاكم؟
"Siapa yang menjadikan kalian menangis?"

Jawab sahabat :
حنانة هذه الأم على ولدها
"Kerana sifat kasih ibu ini lah yang membuatkan kami menangis"

Sabda baginda lagi :
أترونها ملقية ولدها في النار؟
"Rasanya bolehkah kalian melihat jika ibu itu mencampakkan anaknya ke dalam api?"

Jawab sahabat :
لا يا رسول الله
"Pasti lah tidak wahai Pesuruh Allah!"

Seru Rasulullah :
الله أرحم بكم من هذه بولدها
"Allah SWT lebih sayangkan kalian daripada sayangnya ibu ini kepada anaknya"

Sekian sedikit daripada terjemahan.


Definisi Tasawuf dan Ajaran-Ajarannya

#8 بسم الله الرحمن الرحيم والصلاة والسلام على رسول الله. أما بعد. Bahagian I Definisi Tawasuf dan Ajaran-ajarannya (Kenyataan ...