السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على خير الأنبياء والمرسلين الحبيب المصطفى سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن
تبعهم بإحسان إلى يوم الديم...أما بعد
Bukanlah sembarangan orang yang mampu mensyarah al-Hikam yang dikarang oleh anak murid kepada Syeikh Abu Abbas al-Mursy ini, yang terkenal dengan nama beliau sebagai Ibnu Athoillah as-Sakandary, kerana walau hikamnya pendek, namun lautan tinta diperlukan bagi mensyarahkan maksudnya yang tersirat..
Jadi, perkongsian daripada al-faqir ini tidak lebih daripada sekadar perkongsian. Al-faqir memohon teguran daripada para alim ulama' dan asatizah jika terdapat kecacatan sepanjang coretan ini dibuat.
Sedikit biografi ringkas
Mungkin saya boleh buka coretan ini dengan menerangkan sedikit biografi ringkas berkenaan pengarang al-Hikam ini :
Nama : Tajuddin Abu al-Fadl Ahmad B Muhammad B Abdul Karim, terkenal dengan Ibnu Athoillah al-Iskandary ( atau al-Iskandarani )
Tareqat : Syazuliyyah ( dipelopori oleh Abu Hassan asy-Syazuliy )
Wafat : Mesir pada 709 hijrah
Antara kitab masyhur yang dikarang oleh beliau :
1) تاج العروس الحاوي إلى تهذيب النفوس؛ في الوصايا والعظات،
2) التنوير في إسقاط التدبير
3) الحكم العطائية على لسان أهل الطريقة،
3) الحكم العطائية على لسان أهل الطريقة،
4) لطائف المنن في مناقب الشيخ أبي العباس المرسي وشيخه أبي الحسن،
5) مفتاح الفلاح في ذكر الله الكريم الفتاح.
Untuk menerima sepenuhnya taqdir Allah itu dalam semua musibah adalah perit. Namun itulah jalan yang harus ditempuhi oleh seorang hamba yang ingin meningkatkan derajatnya di sisi Al-Qowiy Al-Matin dan tidak mahu hanya berada pada derajat orang awam sahaja. Sekurang-kurangnya, dia ingin merasai bagaimana hangatnya hubungan bersama Allah dalam hidupnya di dunia. Maka, saya mahu petik hikam Ibnu Athoillah as-Sakandary berkenaan perihal ini.
Hikam ke-7 : Pengartian Janji Allah SWT
لاَ يـُشَـكِّكَــنَّكَ فيِ الْـوَعْدِ عَدَمُ وُقُــوْعِ الْـمَـوْعُـوْدِ ، وَ إِنْ تَـعَـيَّنَ زَمَنُهُ ؛ لِئَـلاَّ يـَكُوْنَ ذَلِكَ قَدْحًـا فيِ بَـصِيْرَتِـكَ ، وَ إِخْمَـادًا لِـنُورِ سَرِيـرَتِـكَ
"Jangan sampai meragukan kamu terhadap janji Allah kerana tidak terlaksana apa yang telah dijanjikan, meskipun telah tertentu (tiba) masanya, supaya keraguan itu tidak merosakkan mata hati kamu dan tidak memadamkan cahaya sirr (rahsia atau batin) kamu."
Seorang wali (kekasih Allah) yang kurang yakin akan ketentuan dan janji-janji Allah SWT, akan mengurangkan derajatnya di sisi Ar-Rahman. Oleh sebab itulah, seorang kekasih Allah mesti redha dengan segala ketentuan-Nya, husnu zonn pada-Nya, mengharapkan kebaikan daripada ketentuan-Nya.
Al-Basirah (البصيرة) merupakan pandangan mata hati yang dikurniakan buat orang yang telah melalui jalan membersihkan hati.
Sebagai seorang murid (orang yang ingin sampai kepada Allah), kita perlulah berusaha sungguh-sungguh mensucikan jiwa kita dengan dimulai dengan maqam taubat, seterusnya kita sucikan dengan istighfar, zikir, sabar, syukur dan lain-lain.
Sudut pandang mereka yang telah dikurniakan basirah tidak sama dengan sudut pandang orang awam. Sebagai contoh, orang awam mungkin melihat sesuatu perkara itu buruk, dan sebaliknya yang berlaku bagi orang yang mempunyai basirah. Mereka memandang sesuatu dengan mata hati sehingga merasakan ianya baik dan berhikmah. Inilah keadaan jiwa orang yang soleh yang dipenuhi cahaya.
Antara Janji-Janji Allah
(إنه لا يخلف الميعاد - sesungguhnya Allah tidak sesekali memungkiri janji-Nya)
1) Firman Allah SWT :
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ ) العنكبوت/45
"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang akan diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
Ini merupakan formula daripada Allah SWT yang harus kita yakini kemujarabannya. Andai kita masih bergelumang dengan dosa walau kita telah dirikan solat, kita mesti berusaha memperbaiki solat kita dengan menceduk sebanyaknya ilmu berkenaan solat lalu mengamalkannya.
Mungkin sahaja kita masih tidak dapat menjauhi fahsya' dan mungkar disebabkan oleh solat kita kurang khusyuk', aurat tidak ditutup dengan sempurna, tidak meraikan segala rukun solat dengan baik dan sebagainya. Pendek kata, kelompongan dalam solat kita tidak memungkinkan kita untuk berhasil mendapat janji Allah SWT ini, dan perlulah diingatkan, bahawa alasan :
"Solat telah ku dirikan, namun aku masih bergelumang dengan dosa" ,
sehingga mengakibatkan seseorang terus meninggalkan solat adalah jauh sekali terpesongnya daripada agama. Teruskan berusaha mendirikan solat dan perbaiki apa yang kurang. Semoga kita berjaya!
2) Firman Allah SWT :
(وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ) إبراهيم/(7)
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras."
Apa jua kebaikan yang kita terima, kita wajib untuk bersyukur ke atasnya kerana ini merupakan tugas sebagai seorang hamba Illahi. Contohnya, kita memperoleh kereta baharu, maka kita berazam untuk menggunakannya bagi menunaikan solat di masjid lima waktu. Selain itu, jika kita peroleh gaji yang lumayan, kita berazam untuk membahagikan duit kita kepada orang yang memerlukan seperti pembangunan sekolah tahfiz, anak yatim, pertubuhan yang menyalurkan bantuan untuk saudara kita yang ditindas di Palestin dan lain-lain.
Namun, sekiranya kita sudah mensyukurinya dengan apa-apa amalan, dan kita dapati harta kita semakin berkurang, maka kita perlu sabar dan terus yakin dengan janji-Nya. Ini adalah kerana, jika kita ragu-ragu akan janji-Nya, maka mata hati kita akan tertutup dan mengurangkan keyakinan kita.
Ketahuilah bahawa Allah Maha Bijaksana, Dia pasti mengetahui bila waktu yang terbaik untuk kita memperoleh nikmat dan kurniaan-Nya. Begitulah doa, perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT dan tidak putus asa darinya. Kerana Allah janji kepada sekalian hamba-Nya, bahawa sesiapa yang berdoa pasti akan dimakbulkan.
Ketahuilah bahawa Allah menggenggam semua doa, lalu dilepaskanNya satu persatu di saat yang paling tepat...
Kesimpulan
Kita perlu meyakini, bahawa segala yang ditetapkan Allah JAUH LEBIH BAIK daripada apa yang kita kehendaki seperti yang terdapat pada hikam ke-6. Seorang hamba, apabila yang dirancangnya tidak berhasil, maka dia lebih gembira kerana Allah SWT sendiri yang telah menetapkan baginya sesuatu yang lain yang pastinya jauh lebih baik.
Semoga kita mampu mengamalkan apa yang disampaikan.
No comments:
Post a Comment