بسم الله الرحمن الرحيم
Dunia ini adalah pengembaraan. Apa yang kita tahu tentang mengembara? Ya! Ia memerlukan beg besar yang diisi minuman, makanan, alat memasak, sleeping bag dan sebagainya. Semuanya adalah bagi persediaan dan bekalan supaya kita terus hidup dan tidak mati di tengah jalan sebelum sampai ke destinasi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan jauh."
(HR Bukhari)
Destinasi. Pengembaraan kita mesti ada destinasi! Destinasi tidak semestinya tempat, kerana ianya mungkin boleh jadi tujuan atau objektif. Dalam satu situasi, mungkin kita mengembara untuk melihat dunia berbilang bangsa dan bahasa. Justeru jika kita berjaya melihatnya maka kita telah sampai di destinasi. Seorang pelajar universiti, destinasinya adalah ilmu dan sijil. Dia telah dianggap berjaya menjejaki destinasi bilamana berjaya menghadam ilmu dan menjunjung segulung sijil. Dewasa, destinasinya matang. Dia mungkin boleh dianggap gagal sampai destinasi jika dalam pergaduhan, dia hanya tahu meniru kejahatan orang lain. Maka saat itu dia gagal menjadi dewasa kerana bersifat keanak-anakan.
Kembara hidup juga ada destinasinya, yakni MATI atau dalam erti kata lain, destinasi hidup kita adalah untuk bertemu Illahi. Kita boleh ibaratkan hidup ini seperti memandu kenderaan dan kitalah pemandunya. Sewaktu memandu kita perlu fokus ke hadapan dan sesekali menoleh ke kiri, ke kanan, dan ke belakang supaya kita tidak melanggar kenderaan atau tebing jalan. Namun kena beringat supaya tidak terlalu lama melihat ke belakang kerna mampu mengundang bencana.
Begitulah kehidupan. Fokus kita ibarat iman yang perlu kita jaga daripada hilang jalannya. Kita perlu memelihara iman supaya ia sentiasa fokus ke arah kebajikan dan kebaikan. Dosa yang kita lakukan akan memberi kesan terhadap fokus iman tersebut. Jika terlalu kerap mengulang kesalahan, kita pasti akan terbabas dalam kehidupan. Oleh yang demikian, sebenarnya dosa yang dilakukan hanya perlu dijadikan medium muhasabah supaya tidak diulangi.
Sabda Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah RA :
"Orang mukmin tidak dipatuk binatang bisa dua kali pada satu lubang.."
(HR Syaikhan, Abu Daud dan Ibn Majah)
Jika kita terus menerus memelihara fokus kita sewaktu memandu, insha-Allah akan sampailah kita ke destinasi yang dituju dengan SELAMAT dan SEJAHTERA. Kiasnya, maka sentiasalah kita mengambil berat untuk mengisi iman dan mensucikannya dengan taubat, zikrullah, bacaan al-Quran, kata-kata dakwah dan macam-macam lagi. Semoga apabila kita bertemu Allah SWT nanti, kita akan membawa hati yang SELAMAT dan SEJAHTERA lalu disambut baik oleh Allah SWT dan dialu-alukan ke Syurga yang Dia janjikan buat hamba yang soleh.
PASAKKAN IMAN KITA
Persoalan mungkin timbul; "Bagaimana nak kuatkan iman? Saya mula sedar sekarang dan ingin membuat perubahan!"
Baiklah. Iman akan dapat dikebalkan dengan kebaikan yang kita lakukan sama ada melalui solat, zikir, berkata baik, bersedekah , menuntut ilmu dan lain-lain. Yang lebih menarik lagi, melalui deria-deria kita sudah cukup sebenarnya untuk melahirkan iman. Kita ada mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan lain-lain. Satu kemestian bagi seseorang yang ingin memantapkan iman agar dia bersungguh-sungguh meneliti dan mentadabbur kalam Allah SWT di bawah ini :
"Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang -orang yang yakin dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikannya?"
(Adz-Dzariyat : 20-21)
Subhanallah!! Jika kita benar-benar perhatikan segala proses yang berlaku dalam tubuh badan kita, maka tidak akan mampu kita terangkan keperincian gerak kerja setiap anggota-anggota dalaman tubuh. Mungkin mudah bagi kita memikirkan cara makan roti, namun tidak mudah untuk kita memperincikan perjalan kunyahan roti itu yang bermula daripada mulut sehingga ia bertukar menjadi zat seperti kalsium, karbohidrat, lemak dan lain-lain yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Maha Suci Allah yang menciptakan usus yang panjang, kerongkong yang mengandungi kontraksi, gigi dan lidah yang saling bekerjasama menghancurkan makanan, perut yang mempunyai asid pencerna makanan dan lain-lain. Semua makhluk ciptaan Rabb Akbar ini lah yang membantu memproses makanan daripada bentuk roti yang petak sehingga menjadi zat yang halus...Allahu Akbar!
Renunglah wahai saudaraku dengan mata hati. Sentiasalah melazimi zikir dan fikir supaya kita benar-benar meyakini kita ini hanyalah ciptaan dan makhluk semata-mata.
Wallahua'lam..
No comments:
Post a Comment