Friday, June 12, 2015

Halawatus Sabar (Buat Daei)


بسم الله الرحمن الرحيم


   Segala puji ke hadrat Illahi yang mengizinkan lagi jari-jemariku menaip coretan dakwah yang lebih cenderung untuk ku namakan sebagai perkongsian. Selawat dan Salam buat junjungan baginda SAW yang menjadi sumber inspirasi buat para pendakwah sama ada pada zaman Salaf atau Khalaf.

 "Perkongsian yang nak saya bawakan ini, bagi saya sangat berat. Ini adalah kerana isinya mapan dan padu untuk saya sendiri telan. Kehidupan sebagai seorang pendakwah bukan berada dalam air sungai yang tenang, bahkan wajib menongkah badai dan ombak besar di tengah lautan luas. Hati yang kurang kental disusuli iman yang kurang bersinar pasti mudah karam apabila diserang oleh mad'u (orang yang didakwah) dengan caci maki, penghinaan, kata-kata kesat dan sebagainya. Boleh jadi dalam berdakwah, kita akan melihat rakan karib sendiri menjadi musuh tegar, si pendiam menjadi lincah melakukan tohmahan terhadap daei, kawan-kawan sekeliling melakukan pemulauan besar-besaran. Ini antara yang pernah saya rasa. Semoga saya akan terus dipilih Allah SWT untuk menjadi salah satu tentera-Nya dan bersatu dalam kumpulan-kumpulan dakwah fi SABILILLAH! Begitu juga saudara/saudari sekalian. Kita sama-sama ambil pengajaran daripada firman Allah SWT : "

لَسْتَ عَلَيْهِمْ بِمُصَيْطِرٍ (22) إِلَّا مَنْ تَوَلَّى وَكَفَرَ (23) فَيُعَذِّبُهُ اللَّهُ الْعَذَابَ الْأَكْبَرَ (24) إِنَّ إِلَيْنَا إِيَابَهُمْ (25) ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا حِسَابَهُمْ (26)
Engkau bukanlah orang yang berkuasa atas mereka. Tetapi barangsiapa berpaling dan kafir, Allah akan mengazabnya dengan azab yg besar. Sungguh kepada Kami-lah mereka kembali. Lalu sungguh kewajiban Kami-lah membuat perhitungan hisab mereka 
(QS. Al-Ghasyiah: 22-26)

SABAR BUAT DAEI

   Beruntunglah wahai mereka yang berjiwa pendakwah/daei (Bahasa Arab) dan melaksanakannya, kerana golongan ini sedang membina rantaian pahala yang sangat panjang, mungkin sahaja Syurga sentiasa diluaskan buatnya seluas-luasnya sepertimana Syurga Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA. Usaha dakwah ini terus menerus menyambung rantaian pahala kerana kebaikan yang mereka seru disertai banyak jiwa yang menerima seruan dakwahnya. Kerana itulah sabda Nabi SAW ini dijadikan madu dalam ragam dakwah mereka :

Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ
Artinya: “Barangsiapa yang menunjukkan kepada sebuah kebaikan maka baginya seperti pahala pelakunya.”
(HR Muslim)

   Seorang daei tidak mengira berapa ramai yang menerima seruan dakwahnya. Apa yang difikirkan oleh mereka adalah sejauh mana keikhlasan dijadikan bekalan sepanjang berdakwah dan sebanyak mana dia berjaya 'membasuh' dirinya sendiri. Sebab itu dakwah sering dikaitkan dengan membasuh pakaian. Niatnya mencuci pakaian namun dalam pada masa yang sama dirinya terbersih sama. Seorang pendakwah itu, bilamana ada orang yang terkesan dengan usaha dakwahnya, maka kesyukuran tidak terhingga dipanjatkan kepada Illahi. Dia sedar dirinya bukanlah yang memberi hidayah dan taufiq. Dia hanya menjadi perantara dan Allah sahaja lah yang mengizinkan hidayah itu menguasai hati mad'u. Sabda Rasulullah SAW :

"Demi Allah, sekiranya seseorang itu diberikan hidayah kerana (usaha) kau, maka itu lebih baik dari unta merah."

(HR Muslim)
Wahai daei yang mana saya juga salah seorang daripada anggota kumpulan kalian,
   Sering sahaja kita rasa dakwah kita ini sia-sia bilamana kita lihat ramai yang sering buat tidak endah akan kata-kata kita. Disebabkan ini, kita mula rasa putus asa dan merasakan mad'u tidak menyukai kita. Pertama sekali, kita tidak boleh menghukum mad'u kita degil dan keras kepala. Jika perbuatan demikian yang kita laksanakan maka kita telah ditipu syaitan. Sedikit demi sedikit syaitan berusaha meniupkan kotoran ujub dan riyak dalam hati kita sehingga kita menjadi penghukum tegar terhadap orang lain.
Aku : "Degil! Aku dah tunjukkan kebaikan tapi dia tak nak amik pengajaran. Dasar keras kepala!"
   Segeralah kita bertaubat jika kita merasakan demikian. Nabi SAW sendiri apabila berdakwah di Thaif, dibaling batu sehingga darah memenuhi capal baginda. Baginda langsung tidak mentohmah penduduk Taif bahkan mendoakan kebaikan buat cucu dan generasi mereka. Baginda adalah insan yang digelar al-Amin, mulia, sangat pemurah, bijaksana, sangat prihatin namun tohmahan yang diterima baginda membalasnya dengan kesabaran dan kebaikan. Kita pula adalah insan yang penuh dosa, bakhil, jahil ini lebih tergamak mentohmah mad'u kita. Siapa kita untuk mentohmah sedang Rasulullah SAW yang mulia hanya bersabar?
SECEBIS IBRAH HAYAT RASULILLAH
Kesedihan Rasulullah SAW selepas berdakwah di Thaif digambarkan dalam doa berikut :
اللَّهُمَّ إلَيْكَ أَشْكُوْ ضَعْفَ قُوَّتِيْ، وَقِلّةَ حِيْلَتِيْ، وَهَوَانِيْ عَلَى النَّاسِ يَا أَرْحَمَ الرّاحِمِينَ أَنْتَ رَبُّ الْمُسْتَضْعَفِينَ وَأَنْتَ رَبِّي. إلَى مَن تَكِلُنِي؟ إلَى بَعِيدٍ يَتَجَهّمُنِي؟ أَمْ إلَى عَدُوّ مَلّكْته أَمْرِي؟ إنْ لَمْ يَكُنْ بِك عَلَيّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي، وَلَكِنْ عَافِيَتُك هِيَ أَوْسَعُ لِي، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِك الّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظّلُمَاتُ وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدّنْيَا وَالآخِرَةِ مِنْ أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَكَ، أَوْ يَحِلَّ عَلَيَّ سُخْطُكَ، لَكَ الْعُتْبَى حَتَّى تَرْضَى، وَلا حَوْلَ وَلاَ قُوّةَ إلاَّ بِكَ

“Wahai Robbku, kepada Engkaulah aku adukan kelemahanku dan kekurangan upayaku pada pandangan manusia. Wahai Robb Yang Maha Rahiim, Engkaulah Robbnya orang-orang yang lemah dan Engkaulah Robbku. Kepada siapa Engkau menyerahkan diriku? Kepada musuh yang akan menerkam aku atau kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku, tidak ada keberatan bagiku asalkan Engkau tidak marah padaku. Sedangkan 'afiah (keselamatan dari)-Mu lebih luas bagiku. Aku berlidung kepada cahaya wajah-Mu yang mulia yang menyinari langit dan menerangi segala yang gelap dan dengan-Nyalah teratur segala urusan dunia dan akhirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau turun atasku azab-Mu. Kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan-Mu.

(HR. Thabrani).

Aisyah RA pernah bertanya kepada Nabi SAW, “Apakah engkau pernah mengalami suatu peristiwa yang amat menyulitkan selain peperangan Uhud?”.

Rasulullah SAW menjawab:“Sungguh aku merasakan suatu yang amat menyulitkan pada kaum mu, yaitu peristiwa Aqabah di Thaif. Tatkala aku menawarkan misiku kepada Ibnu Abdi Yalil bin Abdi Kalal, dia tidak memberi respon kepadaku. Maka aku pun pergi dalam keadaan masygul. Bahkan, aku tidak sedar bahawa ku telah sampai di Qarn ats-Tsa’alib. Aku mendongakkan kepalaku, tiba-tiba ada sekumpulan awan memayungiku. Aku pun mengarahkan pandanganku ke sana dan melihat Jibril AS. Dia menyeruku, "

“Wahai
 Muhammad! Sesungguhnya Allah SWT mendengar apa yang dilakukan kaum mu terhadap dirimu dan penolakan mereka padamu. Allah SWT telah mengutus malaikat gunung untuk melayani semua keinginanmu.”
Maka, malaikat itu mengucapkan salam dan berkata,

“Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah mendengar apa yang diucapkan kaum mu kepadamu. Aku malaikat gunung yang diperintahkan oleh Rabbmu untuk melayani semua perintah dan permintaanmu. Jika engkau mahu, nescaya akan kami hempaskan gunung Ahsyabain ini kepada mereka (penduduk Thaif).”
Namun Rasululloh SAW menjawab,
“Justeru aku berharap akan lahir kelak daripada tulang-tulang sulbi mereka generasi yang menyembah Allah semata-mata dan tidak berbuat syirik sedikit pun.”


(Shahih al-Bukhari, Fathul Bari 6/312-).


PENGAJARAN BUAT DAEI
   Kisah dakwah Rasulullah SAW sangat memberi pengajaran yang besar buat para daei. Dalam usaha dakwah kita yang tidak diterima ramai itu mungkin kerana apa yang kita buat itu nampak baik, namun tidak kena pada hati orang lain. Sebagai daei, kita perlu bijak blend dengan pelbagai situasi manusia. Kita perlu menjauhi taksub dengan satu cara yang kita suka sedang hakikatnya orang lain tidak boleh menerimanya. Justeru, mungkin mad'u kita bukan membenci diri kita, namun hanya membenci cara dakwah kita sahaja. Apa kata kita cuba ubah cara kita yang mungkin agak keterlaluan bagi mereka. Rendahkan ego kita dan takabbur kita supaya hasrat ini tercapai. Ha! Indah sungguh dakwah ini kerana ia mampu menundukkan ego kita. :)

Sunnah perjuangan buat mereka yang mujahadah tinggi dan mampu melakukan anjakan adalah :
1) Sentiasa berusaha ke arah kebaikan
2) Mengajak orang lain berubah
3) Menyumbang idea untuk pembangunan ummah
4) Tarbiah

RAHMAT ALLAH SENTIASA ADA
   Putus asa itu daripada syaitan. Syaitan benci kita berdakwah kerana dakwah mampu menyedarkan ramai manusia daripada tidur mereka. Dakwah juga mampu mengetuk manusia supaya memperbanyakkan ilmu di dada sehingga syaitan tidak mampu memperdayakan mereka. Kita manusia tidak akan mampu terlepas daripada melakukan dosa kerana kita bukan Tuhan. Kita hanya makhluk. yaitu benda yang dicipta. Dicipta dalam keadaan yang serba kekurangan dan hanya dikurniakan secebis kelebihan. Bersyukur terhadap sedikit kelebihan yang ada lebih besar nilainya daripada meratapi kekurangan berhari-hari. Ini adalah kerana memikirkan kekurangan kita akan membantutkan proses memperbaiki diri sendiri untuk menjadi hebat di mata Allah SWT. Bersyukurlah maka Allah akan tambah nikmatmu!

   Fokuslah pada sebanyak mana kamu bangkit daripada kamu melihat sekerap mana kamu jatuh. Yakinlah dengan Allah Yang Maha Pengasih bahawa Dia inginkan kita berjaya. Setiap kesalahan dan keterlanjuran kita pasti kerana Dia mahu selitkan hikmah yang besar. Jihad terbesar kita pada era milenium ini adalah bagaimana kita hendak istiqamah dalam suasana soleh yang kita ikuti disebabkan sistem jahiliah yang berpusu-pusu menyerang kita di setiap sudut.

Muhasabah dan Bertaubatlah! T.T
Wallahua'lam

Jumaat, 12 Jun 2015m bersamaan 24 Sya'ban 1436h
Teratak Amna Wajdi, Mohammedia
09:50 pg

No comments:

Post a Comment

Definisi Tasawuf dan Ajaran-Ajarannya

#8 بسم الله الرحمن الرحيم والصلاة والسلام على رسول الله. أما بعد. Bahagian I Definisi Tawasuf dan Ajaran-ajarannya (Kenyataan ...